Hidayatul 'Ein binti Mohamad Azmi
Pengarah
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Kompleks JKKN WPKL,
Jalan Tun H.S Lee,
50000 Kuala Lumpur

Tel    : 03-2072 6431/6779
Faks  : 03-2070 4064

Latar Belakang

Bermula daripada sebuah sekolah lelaki aliran Inggeris yang dikenali sebagai Victoria Institution sempena dengan nama Queen Victoria, Kerabat DiRaja British ketika itu, bangunan yang bersenibina gaya Victorian English Cottage adalah ilham seorang Arkitek Kanan Inggeris, A.C Norman yang bertugas di Jabatan Kerja Raya (JKR) pada tahun 1893.

Perletakan batu asas pembinaannya pada 14 Ogos 1893 disempurnakan oleh Lady William Hood Treacher, isteri kepada Sir William Hood Treacher, Residen British di Selangor ketika itu. Penubuhan sekolah ini tercetus atas kesedaran perlunya sekolah aliran Inggeris di Kuala Lumpur yang setanding dengan Raffles Institution di Singapura. Sekolah ini dibuka secara rasmi pada 3 Julai 1894 dan Mr. Bennett Eyre Shaw telah memikul tanggungjawab sebagai Pengetua pertama sekolah ini.

Peruntukan kewangan pembinaan sekolah ini diperolehi daripada lebihan sumbangan masyarakat sempena Perayaan Jubli Emas Queen Victoria pada tahun 1887 sebanyak $3,188 serta $5,000 diperolehi daripada sumbangan kerajaan.

Paduka Sri Sultan Sir Abdul Samad Shah Ibni Al-Marhum Tengku Abdullah, Sultan Selangor yang bertakhta ketika itu turut menyumbang $1,100 disertai tiga (3) orang ketua masyarakat berbilang kaum di Kuala Lumpur iaitu Yap Kwan Seng, Towkay Loke Yew dan Tamboosamy Pillay yang menyumbangkan $1,100 setiap seorang. Ini menjadikan jumlah peruntukan kesemuanya mencecah $21,000.

Victoria Institution berdiri teguh sebagai sebuah institusi pendidikan dengan pelbagai perkembangan yang memberangsangkan. Pada 28 Mac 1929, kurikulum pembelajaran baru telah diperkenalkan dimana aktiviti drama dan debat merupakan kurikulum tambahan yang amat penting. Namun, pada tahun yang sama Victoria Institution telah dipindahkan ke Petaling Hill disebabkan keperluan kawasan yang lebih luas untuk menampung pertambahan pelajar serta mengelakkan masalah banjir teruk yang mula melanda sekitar tahun 1926.

Bangunan Victoria Institution kemudiannya dihuni oleh pelajar Maktab Teknik Kuala Lumpur untuk meneruskan pengajian mereka sehingga dipindahkan ke Universiti Malaysia Teknologi (UTM) di Jalan Gurney atau lebih dikenali sebagai Jalan Semarak pada sekitar 1950-an. Bangunan tersebut seterusnya diambil alih oleh High Street School sebelum ia juga dipindahkan ke Setapak yang kemudiannya dikenali sebagai Setapak High School.

Kebangkitan era seni budaya terutamanya dalam bidang teater dan tarian begitu ketara di sekitar tahun 1970-an dan 80-an apabila para pencinta dan pejuang seni budaya di sekitar Kuala Lumpur menjadikan Bangunan Victoria Institution ini sebagai Pusat Latihan, Perhimpunan serta Pementasan Aktiviti Kesenian dan Kebudayaan.

Pada sekitar tahun 1980-an, Taman Budaya yang lebih dikenali sebagai Panggung Drama atau Pusat Seni ketika itu dikendalikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan telah dijalankan malah secara tidak langsung telah menyemarakkan lagi aktiviti kebudayaan di sekitar Kuala Lumpur.

Nama-nama seperti Mustapha Noor, Fauziah Nawi, Normah Nordin, Dato Nordin Kardi, Sani Sudin, Siso, Meor Hashim Manaf, Khalid Salleh, Fatimah Abu Bakar Rahman B, Rohani B, Ahmad B, Jalaluddin Hassan dan Dinsman merupakan sebahagian daripada penggiat seni yang lahir daripada aktiviti kesenian yang wujud di Taman Budaya ini. Masalah kekurangan tempat latihan dan pementasan di Kuala Lumpur sekitar tahun 1970-an dan 80-an telah menarik perhatian lebih ramai pencinta serta penggiat seni untuk menjadikan Taman Budaya Kuala Lumpur sebagai Pusat Latihan dan Pementasan Aktiviti Kesenian.

Bangunan bersejarah berusia 106 tahun yang telah banyak berjasa kepada penggerak seni ini dikejutkan dengan tragedi kebakaran pada 26 Julai 1999 yang telah memusnahkan hampir keseluruhan struktur asalnya. Menyedari akan kepentingan pengekalan warisan seni budaya, bangunan asal Blok 1 Victoria Institution yang terbakar dipulihara dan dibina semula di tapak asalnya.

Proses pembinaan semula bermula pada 28 Oktober 2002 dan telah siap pada tahun 2005. Dengan kos pembinaan yang menelan belanja lebih Ringgit Malaysia Tujuh Juta (RM7 juta) , bangunan ini dilengkapi dengan kemudahan asas yang sesuai dengan kepentingannya dalam mengembangkan warisan seni dan budaya.

Pembangunan semula tapak pusat seni ini telah dilakukan oleh pihak kerajaan dan kini ia lengkap dengan kemudahan teknologi dan peralatan canggih yang sesuai dengan kehendak dan perkembangan kebudayaan dan kesenian di bawah pentadbiran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKN WPKL). 

  • Melaksanakan program penyelidikan dan pembangunan, pendokumentasian dan penerbitan, bimbingan seni budaya, pembangunan modul insan mahir dalam bidang seni budaya, pengembangan seni budaya, pengukuhan seni budaya, pembangunan produksi dan artistik, dan promosi seni budaya;
  • Membina jaringan kerjasama yang berkesan antara pemain industri seni budaya, agensi Kerajaan, Swasta, Badan Bukan Kerajaan dan penggiat seni budaya dari dalam dan luar negara;
  • Menyediakan landasan untuk penggiat seni terlibat dalam bidang ekonomi melalui aktiviti seni budaya.
  • Memperkukuhkan aktiviti seni dan budaya yang bersesuaian sebagai tarikan pelancong dalam dan luar negara.
  • Mengoptimakan fungsi organisasi JKKN negeri. 



  • Pusat sumber seni budaya
  • Kelab kesenian jabatan (KKJ)
  • Jurulatih seni budaya negara (JSBN) 
  • Kelas Gamelan
  • Pementasan Teater di Dewan Terbuka 
  • Kelas Tarian
  • Kelas Silat
  • Jom Belajar 
  • Auditorium
  • Pentas Terbuka
  • Tempat Letak Kereta
  • Studio Latihan
  • Bilik Mesyuarat
  • Bilik Muzik
  • Pasar Jalan Petaling (Petaling Street Market)
  • Pasar Seni
  • Medan Selera
  • Balai Polis Trafik Jalan Tun H. S Lee 
  • Putra LRT
  • Bas
  • Teksi
  • Monorel 

Kompleks JKKN Kuala Lumpur

Auditorium

Bilik Mesyuarat

Bilik Muzik Gamelan

Pentas Terbuka

Pintu Masuk Utama

Pusat Sumber

Studio