Program MySeniBudaya
Pengenalan
Program Pelancongan Budaya (Culture Based Tourism) merupakan program teras JKKN di peringkat negeri yang mengangkat keunikan seni budaya setempat bagi tujuan memulihara dan mengekalkan warisan seni budaya negara, di samping menjana ekonomi melalui seni dan budaya serta memupuk semangat kerjasama, meningkatkan toleransi, keharmonian dan perpaduan ke arah kesejahteraan rakyat Malaysia.
PEMULIHARAAN SENI BUDAYA
Program Pelancongan Budaya merupakan platform dalam memelihara seni budaya setempat untuk tatapan generasi baharu dan tarikan pelancongan seperti hadrah, jikey, mek mulung, dikir barat, wayang kulit, sukan rakyat, dan sebagainya
PENGLIBATAN GENERASI MUDA
Menggalakkan proses pengembangan dan pencungkilan bakat baru dalam bidang seni budaya seperti dikir barat, mak yong, tarian, pergendangan silat, persembahan boria dan lain-lain
Program utama negeri dan program sauh dalam merancakkan pelancongan domestik dan antarabangsa yang gemarkan pengalaman authenticâ
FOKUS KESEJAHTERAAN RAKYAT
Perkhidmatan agensi kerajaan dan swasta seperti pasar tani bergerak, pemeriksaan kesihatan, penubuhan homestay, khidmat nasihat berkaitan pinjaman perniagaan, kaunter pembayaran saman dan lain-lain
Penglibatan pelbagai agensi dalam memberi khidmat kepada masyarakat seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Kewangan, PDRM, ATM, Tourism Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Tenaga Nasional Berhad, Majlis Amanah Rakyat dan Lain-lain
RINGKASAN PELAKSANAAN
PROGRAM PELANCONGAN BUDAYA 2024
BIL | PROGRAM/AKTIVITI | TARIKH/MASA | TEMPAT | SINOPSIS |
---|---|---|---|---|
1 | PESTA ANGIN TIMUR PERLIS 2025 | 21-23 Februari 2025 | Kampung Lat Seribu, Tambun Tulang, Arau, Perlis | Pesta Angin Timur Perlis (PAT) diilhamkan daripada keunikan fenomena Angin Timur yang terdapat di Negeri Perlis. Program yang mengangkat aktiviti-aktiviti di dalam bendang yang memaparkan keunikan cara hidup masyarakat petani Perlis. |
2 | IFTAR@KL 2025 | 15,16,22 & 23 Mac 2025 15 - 16 April 2023 | Dataran Merdeka , Kuala Lumpur | IFTAR@KL diadakan sebagai inisiatif mengimarahkan bulan Ramadan bagi tahun 2025. Program ini turut akan dilaksanakan di Batu Sapi, Sandakan, Sabah. Program kerohanian ini turut menyediakan makan minum kepada khalayak termasuk anak yatim dan gelandangan untuk berbuka puasa. |
3 | FESTIVAL TARI MALAYSIA | 19 - 20 April 2025 | Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC) | Festival Tari Malaysia telah dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (KPKK) sejak tahun 1992. Sehingga 1999 penyertaan Festival Tari Malaysia hanya terbuka kepada kumpulan profesional atau kumpulan yang diwujudkan secara tetap. Mulai tahun 2000 penyertaan Festival Tari Malaysia telah diperluaskan kepada kumpulan amatur di seluruh negara. berkonsepkan pertandingan yang menumpukan kepada tarian Rampaian Tradisional Asli, Inang, Zapin dan Joget serta tarian Kreatif Malaysia bertemakan kesenian budaya di negeri-negeri yang terdapat di Malaysia. Melalui Festival Tari Malaysia yang telah diadakan pada tahun 2024, mengikut zon sebanyak lapan (8) kumpulan terbaik seluruh Malaysia dipilih untuk dipertandingkan di Festival Tari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2025. |
4 | FESTIVAL GHONTAK NOGHORI | 13-15 Jun 2025 | Water Front, Port Dickson, Negeri Sembilan | Negeri Sembilan terkenal dengan keunikan Adat Perpatih yang masih diamalkan hingga kini, menjadikannya warisan kebudayaan yang perlu dipelihara. KARNIVAL GHONTAK NOGHORI bertujuan memperkenalkan seni dan tradisi masyarakat tempatan kepada generasi muda serta menarik minat pelancong domestik dan antarabangsa. Dengan tema “Lantai Adat, Laman Budayo”, karnival ini menampilkan seni persembahan, adat istiadat, dan produk budaya Negeri Sembilan sebagai platform untuk melestarikan warisan negara. Karnival ini akan dijadikan sebagai medium untuk mempromosikan produk pelancongan dan seni budaya Negeri Sembilan di dalam dan luar negara khususnya menjelang Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 |
5 | TEMASYA BUDAYA @NEGERI PERAK | 26-29 Jun 2025 | Perkarangan Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak | Temasya Budaya @Negeri Perak 2025 akan dilaksanakan di Dataran Menara Condong, Teluk Intan bagi memperluaskan jangkauan program seni budaya ke daerah sebagai tarikan pelancongan. Penganjuran program ini di Teluk Intan dilihat signifikan kerana pelbagai tarikan sejarah dan pelancongan yang ada di Teluk Intan dan sekitarnya sekaligus menyokong kesinambungan pelaksanaan Tahun Melawat Perak 2024 dan Tahun Melawat Malaysia 2026. |
6 | FESTIVAL KESENIAN BALIK PULAU | 11-13 Julai 2025 | Kompleks Sukan, Balik Pulau, Pulau Pinang | Festival Balik Pulau 2025 adalah merupakan kesinambungan daripada program yang telah dianjurkan oleh JKKN pada tahun 2019 secara fizikal dan 2020 secara maya. Program kali ini yang mengangkat aktiviti seni budaya dan warisan tempatan khususnya di zon utara, selain aktiviti sosial dan kemasyarakatan dengan pesta makanan setempat serta kemeriahan musim durian yang dapat menarik minat pelbagai golongan lapisan masyarakat berbilang kaum dengan variasi aneka acara, yang pasti menggamit kehadiran semua. |
7 | FESTIVAL KESENIAN PERIBUMI ANTARABANGSA | 18 - 20 Julai 2025 | Dataran Temerloh, Temerloh Pahang | FESKEP mengenengahkan keunikan peribumi, warisan, bahasa, kepercayaan, amalan orang asal. Ia mengabungkan elemen persembahan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan peribumi dalam dan luar negara, pertandingan dan pencungkilan bakat, aktiviti Interaktif Rakyat, permainan rakyat, Demonstrasi ikthiar hidup dalam hutan (survival village), kaunter perkhidmatan bergerak, mini zoo, pameran, demonstrasi, bazar seni dan jualan usahawan makanan dan minuman. |
8 | FESTIVAL KESENIAN RAKYAT KELATE 2025 | 24-26 Julai 2025 | Pantai Irama, Bachok, Kelantan | Festival Kesenian Rakyat Kelate (FKRK) merupakan sebuah program penyemarakkan seni budaya Masyarakat Kelate yang kaya dan pelbagai seni dan budaya seperti Dikir Barat, Wayang Kulit, Makyong, Muzik Pergendangan dan banyak lagi. Pengisian seperti pameran, jualan, demonstrasi agensi kerajaan dan Ngo juga diadakan sebagai menjana pendapatan kepada usahawan seni bagi menggalakan ekonomi setempat. |
10 | TEMASYA OGHANG KEDAH 2025 | 31 Julai - 3 Ogos 2025 | Perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah | Temasya Oghang Kedah (TOK) merupakan Program Pelancongan Budaya yang akan mengangkat serta melestarikan seni budaya masyarakat Kedah di samping mempamerkan warisan terdahulu yang menjadi amalan untuk dirasai, dihayati dan diwarnai oleh generasi hari ini. Kekuatan untuk merealisasikan program murni ini didasari atas fakta untuk memulihara dan mengekalkan warisan seni budaya negara ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa, di samping memupuk semangat kerjasama ke arah meningkatkan toleransi, keharmonian dan perpaduan. |
11 | TEMASYA TRANUNG KITE 2025 | 8-10 Ogos 2025 | Dataran Kuala Berang, Hulu Terengganu Terengganu | Temasya Tranung Kite (TEGAK) adalah program yang mengangkat sosio budaya masyarakat persisiran sungai di Terengganu melalui pengisian program yang sentiasa “sohor sokmo” melalui persembahan kebudayaan, pertandingan sukan rakyat, pameran agensi kerajaan, swasta dan NGO’s tempatan serta pelbagai aktiviti sampingan yang dapat menarik minat penglibatan masyarakat setempat dan luar daerah supaya dapat dinikmati oleh anak muda generasi sekarang serta tatapan masyarakat. |
12 | FESTIVAL SELANGOR @BATU LAUT | 5-7 September 2025 | Dataran Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat Selangor | FESTIVAL SELANGOR @BATU LAUT merupakan sebuah progam yang akan memaparkan keunikan dan kepelbagaian seni dan budaya masyarakat negeri selangor melalui penganjuran pelbagai aktiviti merangkumi pengisian utama iaitu SOUND OF SELANGOR dan pengisian sampingan seperti sukan rakyat, seni persembahan Negeri Selangor, makanan tradisi, aktiviti keluarga,
pencungkilan bakat, pameran interaktif dan gerai jualan bertema. pengisian yang bertemakan “INILAH SELANGOR” bagi mengangkat kepelbagian budaya masyarakat selangor yang penuh dengan keunikan yang tersendiri. |
13 | FESTIVAL PERMAINAN MALAYSIA | 12-14 September 2025 | Dataran Putrajaya, Putrajaya | Festival Permainan Malaysia 2025 (FPM 2025) adalah merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya, dan Persatuan Sukan Tradisional Malaysia ini, bukan sekadar festival, tetapi sebuah pengalaman budaya yang menghubungkan generasi. Mengetengahkan permainan tradisional Malaysia seperti tarik tali, galah panjang, congkak, batu seremban, kelereng, tuju tin dan pelbagai lagi. |
14 | FESTIVAL SENI SELAT MELAKA | 19-20 Septermber 2025 | Dataran Pengkalan Rama, Melaka | Menyerlahkan keunikan seni budaya dan warisan di negeri-negeri dan negara rantau perairan Selat Melaka. Program ini merangkumi Malam Gala Selat Melaka, Program Sisipan, Keusahawanan : Bazar Selat dan Pengcungkilan Bakat Muda. |
15 | FESTIVAL KOTA SELATAN | 26-28 September 2025 | Dataran Pontian, Pontian Johor | Festival Kota Selatan 2025 merupakan sebuah program yang mengetengahkan keunikan seni, budaya dan warisan negeri Johor dalam bidang muzik, tarian, dan makanan tradisi. Program ini merupakan penganjuran kali ke-5 yang mengangkat pelestarian budaya sebagai medium permuafakatan bangsa Johor melalui pengisian – pengisian aktiviti seni budaya pelbagai kaum. FKS2025 akan bertemakan ‘Revolusi Ghazal Johor’ yang akan disampaikan melalui pengisian acara malam gala dan aktiviti pertandingan serta pengilbatan dari pelbagai generasi anak Johor. |
16 | RHYTHMS OF KINABALU | 24-26 Oktober 2025 | Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, Sabah | Rhythms of Kinabalu (ROK) merupakan program teras JKKN di peringkat negeri yang mengangkat konsep ‘world music’ merangkumi etnik kontemporari, moden dan antarabangsa bagi tujuan memulihara dan mengekalkan warisan seni budaya negara di samping menjana ekonomi melalui seni dan budaya. |
17 | FESTIVAL GENDANG SARAWAK 2025 | 31 Oktober - 2 November 2025 | Tebingan Waterfront, Kuching, Sarawak | Festival Gendang Sarawak 2025 akan dilaksanakan secara pertandingan utama iaitu pertandingan gendang melayu secara zon di 12 bahagian di peringkat saringan, manakala pada malam gala atau malam akhir akan diadakan pertandingan akhir gendang melayu sarawak di mana turut akan melibatkan pasukan Brunei Darussalam. Selain itu, turut diadakan sisipan bengkel gendang Melayu Sarawak dan Simposium Gendang Melayu Sarawak 2025. |
Bahagian Untuk Dihubungi
Bahagian Pengembangan Seni Budaya
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Aras 26, Menara TH Perdana
Jalan Sultan Ismail
50250 Kuala Lumpur
Tel : 03-2614 8200 / 8221
No. Faks : 03-26971067
Emel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.