LATAR BELAKANG SEJARAH PENUBUHAN

Koir Kebangsaan Malaysia merupakan kumpulan bertaraf nasional yang telah ditubuhkan pada tahun 1991 oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan yang kini dikenali sebagai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Kumpulan ini telah dilancarkan pada 20 Julai 1992 oleh YAB. Tun Dr Mahathir Mohamed Perdana Menteri Malaysia bertempat di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Sejak tahun 2004 hingga kini, Koir Kebangsaan Malaysia diselaraskan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Kumpulan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang iaitu pelajar, Badan Bukan Kerajaan (BBK) serta golongan profesional sektor kerajaan dan swasta dianggotai seramai 50 orang ahli.

Selain memperjuangkan lagu-lagu rakyat serta tradisional Malaysia, kumpulan ini juga berkebolehan menyanyikan lagu-lagu klasikal, kontemporari dan pop dalam pelbagai bahasa seperti Inggeris, Mandarin, Tamil, Jerman, Itali, Perancis, Sepanyol dan juga latin. Kronologi penubuhan Koir Kebangsaan Malaysia adalah seperti berikut:

TAHUNPERISTIWA TEMPAT
1991 - 2003 Cawangan Pembangunan Seni Muzik, Panggung Negara
1999 - 2004 Istana Budaya 
2004 - 2005 Bahagian Kebudayaan (KeKKWa)
2005 Sehingga Kini Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara 

OBJEKTIF PROGRAM

  • Pendedahan dan pengalaman di arena muzik koral bagi ahli koir dan sebahagian profil kumpulan Koir Kebangsaan Malaysia.
  • Memberi peluang kepada masyarakat Malaysia menyaksikan persembahan koir bertaraf professional serta menambah bilangan peminat dan pencinta seni koir terutamanya generasi muda.
  • Meningkatkan lagi apresiasi seni koir dan melahirkan masyarakat berdaya kreatif.
  • Menjadi pemangkin serta anjakan kepada masyarakat untuk penubuhan kumpulan–kumpulan koir yang berkualiti.

Dalam usaha melaksanakan program Koir Kebangsaan Malaysia, pihak jabatan mendapatkan khidmat beberapa orang tenaga pengajar dan tenaga produksi yang profesional, kreatif, komited dan berwibawa bagi membimbing kumpulan Koir Kebangsaan Malaysia.

Pada umumnya senarai anggota Koir Kebangsaan Malaysia terdiri daripada;

  • Pengarah / Koordinator KKM - 1 Orang
  • "Vokal Master" - 1 Orang
  • Konduktor - 1 Orang
  • "Pianist" - 1 Orang
  • Penolong Konduktor - 2 Orang
  • Ahli Koir Kebangsaan Malaysia - 20 Orang hingga 30 Orang

Nota: Bergantung kepada keperluan dan jumlah peruntukan jabatan.

  • Kumpulan Koir Kebangsaan telah mengadakan pelbagai siri persembahan peringkat kebangsaan dan antarabangsa antaranya persembahan majlis pembukaan dan penutupan Sukan Komanwel XVI di Kuala Lumpur, persembahan bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan di dalam Festival Muzik Kuala Lumpur, Konsert Koir Kebangsaan Malaysia di Victoria Hall, Singapura, persembahan bersama "The Song Company" dari Australia, serta pada tahun 2015 menerusi persembahan Persahabatan sempena 4th Bali International Choir Festival di Bali, Indonesia. Koir Kebangsaan Malaysia turut mengadakan persembahan sempena Pertandingan Akhir Planet Joget pada 16 Februari 2014 di Auditorium Perdana Angkasapuri dan persembahan khas Majlis Jamuan Negara Meraikan Tuan Yang Terutama Barack Obama Presiden Amerika Syarikat pada 26 April 2014 di Istana Negara.
  • Kumpulan ini juga pernah terlibat dalam beberapa aktiviti siri jelajah Koir Kebangsaan Malaysia ke serata Malaysia bermula pada tahun 1995 iaitu persembahan di Ipoh dan Pulau Pinang. Pada tahun 2006, Siri Jelajah ini diperluaskan ke Sabah dan Sarawak bersama Duta Lagu Rakyat Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKKWA), Zainalabidin, Konsert Jelajah IPTA Cintakan 'Kedamaian' yang telah diadakan di UiTM dan Universiti Malaya, Persembahan Lagu Tema Pelancaran Program Pembudayaan Bahasa KPKK, Persembahan "Flash Mob" Orkestra Paling Ramai di Malaysia, Malaysia Book of Records, Pelancaran Festival Kuala Lumpur, Pertandingan Akhir Pidato 1Malaysia, Konsert Ulangtahun ke-50 Orkestra RTM, Konsert Menjunjung Kasih D.Y.M.M Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XIII di Panggung Sari Istana Budaya dan banyak lagi.
  • Kejayaan besar Koir Kebangsaan Malaysia dalam Konsert Cintakan Kedamaian pada tahun 2009, 2010 dan 2011 terus membuka mata rakyat Malaysia untuk menyaksikan koir berbentuk pop pertama di Malaysia. Koir Kebangsaan terus menyinar dengan beberapa siri konsert seperti Music Macker, No Wrong Notes, Konsert Dira Koir Kebangsaan Malaysia, Konsert Mengapai Bintang Koir Remaja & Simfoni Orkestra Remaja 2012, Konsert Jelajah Koir Remaja Kebangsaan 2013, Konsert Konsert Koir Kebangsaan Malaysia: Kembara Muzikal Teater & Filem ('A Musical Journey of Theatre & Film'), Classique pada tahun 2014, Konsert WARNA, Konsert Koir Kebangsaan 9 Koleksi Terunggul dan Showcase Koir Kebangsaan Malaysia 2019 : Terapi Muzik 'Doktor Hati'.
  • Selain itu, Koir Kebangsaan Malaysia juga telah membuat persembahan sempena Malam Gala Sidang Kemuncak ASEAN Kali Ke – 26 pada 26 April 2015 bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre. Kumpulan ini turut diundang untuk membuat persembahan sempena ASEAN Day Celebrations pada 8 Ogos 2015 di pusat membeli belah Pavilion, Majlis Perasmian "ASEAN Inter Parliamentary Assembly" (AIPA) pada 8 September 2015 (Selasa) di Shangri La Hotel, Kuala Lumpur, dan Majlis Makan Malam Gala Sidang Kemuncak ASEAN Ke - 27 pada 21 November 2015. Kumpulan ini juga telah diberi penghargaan untuk merakamkan lagu tema ASEAN iaitu ASEAN Way, dan diundang dalam menjayakan program Tunggu Sekejap.

2015 merupakan detik manis buat dua puluh empat (24) orang ahli Koir Kebangsaan Malaysia kerana berjaya dengan cemerlang dalam 4th Bali International Choir Festival anjuran Bandung Choral Society dengan kerjasama International Federation for Choral Music (IFCM), yang telah diadakan pada 29 Julai hingga 2 Ogos 2015 di Sanur Paradise Plaza Hotel, Bali, Indonesia. Dalam festival tersebut, Koir Kebangsaan Malaysia telah mengharumkan nama negara dengan memenangi tiga (3) pingat emas dan merupakan juara bagi kategori Vokal Berkumpulan, Kategori Koir Campuran dan Championship Kategori Berkumpulan serta layak ke Grand Prix 4th Bali International Choir Festival bersama dua belas (12) kumpulan lain dari seratus dua puluh lapan (128) penyertaan.

Pemilihan tenaga pengajar dan ahli yang terlibat secara langsung dalam Koir Kebangsaan Malaysia perlu memenuhi 2 syarat utama iaitu;

SYARAT KHUSUS

  • Mempunyai bakat dan kemahiran yang diperakui kelayakan akademik dan pengalaman berdasarkan penglibatan dan sumbangan yang dalam bidang seni yang diceburi.
  • Mempunyai komitmen yang tinggi terhadap pelaksanaan Koir Kebangsaan Malaysia.
  • Mempunyai pengalaman yang luas sekurang-kurangnya 3 tahun dalam bidang seni muzik/ suara.
  • Kelayakan minima Grade 5 (ABRSM) dalam bidang teori dan praktikal atau setaraf dengannya.
  • Berkebolehan menyanyi menggunakan nota lagu dengan baik.
  • Baik dalam nyanyian semerta (sighti reading).
  • Mempunyai nada suara yang baik.

SYARAT UMUM

  • Warganegara Malaysia
  • Mempunyai kelayakan akademik dalam bidang seni muzik dan vokal dari institusi pengajian tinggi awam ataupun swasta yang dikitiraf oleh kerajaan.
  • Sihat tubuh badan.
  • Tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan jenayah.

Nota: Pengambilan ahli KKM akan dibuat dari semasa ke semasa mengikut keperluan program atau persembahan. Pemakluman akan dibuat di laman sosial rasmi jabatan.

Bahagian Untuk Dihubungi


Bahagian Pengembangan Seni Budaya
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Aras 26, Menara TH Perdana
Jalan Sultan Ismail
50250 Kuala Lumpur

Tel : 03-2614 8200 / 8221
No. Faks : 03-2697 1067
Emel : Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Tabs