Pengenalan Program

Program Citra Malaysia 'Colours of Malaysia' (COM) 2023 merupakan salah satu program tahunan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di bawah seliaan Bahagian Pembangunan Produksi dan Artistik. Tahun ini merupakan tahun ke-4 penganjurannya bermula tahun 2020 dan dilaksanakan di peringkat JKKN Ibu Pejabat dan JKKN Negeri dengan penglibatan Kumpulan Kesenian Tempatan (NGO) budaya yang terpilih. COM 2023 dapat memberi peluang kepada para penggiat seni untuk turut terlibat dalam kepelbagaian persembahan dalam program ini. Bagi tahun 2023 ini, konsep persembahan diperluaskan kepada tema berbentuk Muzikal atau Drama Tari.

Antara objektif utama penganjuran COM adalah untuk menampilkan keunikkan serta kepelbagaian kebudayaan dan kesenian masyarakat di Malaysia melalui acara yang dipersembahkan di samping mempromosikan seni dan budaya kepada masyarakat setempat dan pelancong luar negara. Program ini dapat menjalinkan kerjasama erat di antara Jabatan dengan Kumpulan Kesenian Tempatan (NGO’s budaya), orang perseorangan, institusi pengajian dan tokoh-tokoh seni budaya tempatan.

MAC - OKTOBER: JKKN Negeri-Negeri


15 JULAI & 14 OKTOBER 2023: Kuala Lumpur

 

COM 2023 siri 1 ini akan menampilkan sebuah karya adaptasi dari cerita rakyat Perancis ‘La Belle Et La Beta” oleh Jeanne Marie Leprince De Beaumont. Mendapat olahan skrip oleh Khartasis dengan sentuhan pengarahan daripada Shaikh Hasrul. Hasil garapan daripada olahan skrip dan sentuhan arahan yang hebat telah menghasilkan satu karya Perancis kepada pementasan versi Malaysia kerana mempunyai elemen-elemen Malaysia khususnya melalui pemakaian busana.  

 

OBJEKTIF

  1. Menampilkan keunikan serta kepelbagaian kebudayaan dan kesenian masyarakat di Malaysia.
  2. Menjalin kerjasama erat di antara Jabatan dengan NGO’s budaya dan Penggiat-penggiat seni budaya.
  3. Memberi peluang kepada NGO’s budaya untuk bekarya.

SINOPSIS PEMENTASAN “JELITAWAN & LELAKI HAIWAN”

Mengisahkan seorang putera raja yang disumpah oleh ahli sihir, mengubahnya menjadi Lelaki Haiwan dan seisi istananya tururt berubah. Untuk mematahkan sumpahan, dia mesti mencari cinta sejati sebelum mawar sakti yang diterimanya layu. Di kampung berhampiran, seorang gadis bernama Mawar mengimpikan kehidupan berbeza dan tinggal bersama ayahnya, Awang, yang juga seorang pedagang. Mawar telah dilamar seorang pahlawan yang angkuh bernama Damak namun dia menolak. Apabila ayahnya tersesat dan ditawan di istana Lelaki Haiwan, Mawar menawarkan diri untuk menggantikannya. Awalnya berasa gerun, lama-kelamaan Mawar melihat kebaikan dan kemuliaan hati yang ada pada Lelaki Haiwan itu dan mereka semakin rapat. Lelaki Haiwan itu ingin mengaku cintanya tetapi terpaksa melepaskan Mawar pulang ke rumah untuk melihat ayahnya, dengan syarat dia kembali ke istana. Damak, menganggap Awang telah hilang akal, memerangkapnya dan mengumpulkan penduduk kampung untuk menyerang Lelaki Haiwan di istana. Mawar akhirnya tiba tepat pada masa untuk cuba menghentikan konflik, tetapi Damak enggan mengalah dan menikam Lelaki Haiwan itu. Ketika terbaring hampir mati, Mawar meluahkan rasa cintanya kepada Lelaki Haiwan, sekaligus memecahkan sumpahan di saat mawar sakti kehilangan kelopak terakhirnya. Manusia Haiwan menjadi putera raja semula, dan istana serta penghuninya dipulihkan.