Program Perantisan Seni bertujuan memelihara dan mengekalkan kesenian tradisional bagi melahirkan pewaris dan pelapis dalam kesenian tradisional. Perantisan Seni adalah program berbentuk latihan dan pembelajaran kemahiran kesenian tradisional yang disasarkan. Program ini dilaksanakan mengikut komuniti asal seni dan dibimbing oleh penggiat serta tokoh yang diperantiskan. 

JKKN PERLIS         : MUZIK TERINAI & AWANG BATIL

Terinai merupakan salah satu kesenian yang terdapat di Perlis. Perantisan ini memfokuskan muzik yang juga mengiringi repertoir dalam tarian Terinai. Peserta Perantisan Seni akan didedahkan dengan alat muzik seperti Serunai, Gendang dan Gong serta pengenalan lagu-lagu Terinai. Awang Batil pula, merupakan penglipura yang hanya terdapat di Perlis. Pada awalnya, Awang Batil dikenali sebagai “Awang Belanga” kerana menggunakan belanga sebagai alat muzik ketika melakukan penceritaan daripada satu babak kepada satu babak yang lain.

JKKN PULAU PINANG     : TEATER TRADISIONAL BANGSAWAN

Bangsawan merupakan satu bentuk teater Melayu yang menggabungkan unsur teater tradisional dan moden kerana telah dipengaruhi oleh wayang Parsi atau mendu yang dibawa ke Pulau Pinang pada tahun 1870 oleh pedangang India.” Teater bangsawan juga merupakan sebuah corak teater lama yang mempunyai beberapa sifat yang unik dan menggunakan senikata yang diimprovisasi sendiri oleh pelakon-pelakonnya.

JKKN KEDAH         : MEK MULUNG

Mek Mulung juga dikenali sebagai Mek Mulong merupakan teater tradisional yang mengandungi elemen  lakonan, tarian, muzik dan nyanyian.  Kesenian ini amat dikenali dan bertapak di Wang Tepus, Kedah. Persembahan Mek Mulung menggunakan dialek Kedah.

JKKN PERAK          : GENDANG PANJANG

Gendang Panjang adalah sejenis muzik pergendangan yang sering dipersembahkan dalam majlis-majlis keramaian antaranya perarakan pengantin, perarakan menyambut para pembesar dan acara-acara keagamaan. Gendang Panjang sinonim dengan komuniti Siam.

JKKN TERENGGANU       : SILAT KURA-KURA

Silat Kura-kura ini hanya terdapat dan popular di Daerah Hulu Terengganu, Terengganu. Asalnya silat ini dimainkan di tempat yang berpasir iaitu di tepi sungai ataupun di tepi pantai. Pergerakan perlahan yang digayakan oleh pesilat-pesilat ini ibarat menyerupai seekor kura-kura serta mencuit hati siapa sahaja yang menontonnya. Namun, kesenian ini kurang dikenali dalam kalangan generasi muda.

KELANTAN  : REBANA MANGKUK

Rebana Mangkuk merupakan sejenis alat gendang yang diperbuat daripada mangkuk getah dan kesenian rebana mangkuk ini hanya terdapat di Tanah Merah.  Rebana Mangkuk digunakan untuk memainkan lagu-lagu seperti dalam ’repertoire’ yang merupakan salah satu platfrom untuk bercerita, bermain muzik.

JKKN PAHANG       : GENDANG PAHANG

persembahan Gendang Pahang yang dipengaruhi unsur-unsur Islam yang mendalam. Muzik ini dikatakan dibawa oleh Orang Kaya Dato’ Indera Perba Jelai dan penyebarannya dilakukan oleh tiga generasi.  Gendang Pahang mempunyai lagunya yang tersendiri iaitu Bujang Hilir.   Bujang Hilir dikatakan berasal dari Bukit Betong, Kuala Lipis. Gendang Pahang dimainkan ketika majlis-majlis perkahwinan dan adat istiadat istana serta mengiringi persembahan seni silat, Tarian Inai dan nyanyian untuk hiburan masyarakat setempat. 

JKKN SELANGOR             : GAMBUS

Muzik gambus ini dibawa oleh pedagang Arab berasal dari Arab Parsi sekitar tahun 1800 dan mula popular di Tanah Melayu kerana kesenian ini diwarisi dengan adanya perkahwinan campur antara orang Melayu dan pendatang Arab tersebut.  Alat muzik ini diiringi dengan nyanyian yang terdiri daripada bait-bait pantun berunsurkan agama Islam dan unsur nasihat. Kumpulan Perantisan Gambus Brainy Bunch Islamic International School telah diasuh untuk mempelajari teknik nyanyian dan mempelajari teknik-teknik petikan alatan muzik gambus. 

JKKN WP KUALA LUMPUR        : DHOL

Dhol ialah sejenis gendang berkepala dua yang menjadi lambang budaya Punjabi. Dhol merupakan gendang rakyat yang digemari ramai di bahagian utara India, Pakistan dan Bangladesh. Dhol mempunyai satu sisi yang bernada tinggi yang memberi bunyi treble dan satu sisi yang bernada lebih rendah yang memberi bunyi bass. Dhol lazimnya dimainkan untuk mengiringi lagu rakyat dan juga sebagai hiburan dalam masyarakat Punjabi.

JKKN NEGERI SEMBILAN            : DIKIR REBANA

Dikir Rebana merupakan muzik tradisional Negeri Sembilan yang sangat popular di daerah Rembau. Bentuk persembahan dikir rebana adalah dengan nyanyian beramai-ramai dan diiringi oleh alat muzik gendang yang dipanggil rebana dengan pukulan bertingkah. Dikir rebana ini dimainkan semasa upacara adat istiadat negeri serta mengarak pengantin dalam majlis perkahwinan.

JKKN MELAKA       : REBANA KERAS

Rebana Keras dipercayai bermula sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka di mana pedagang Arab yang menjalankan aktiviti perniagaan pada siang hari dan berhibur pada malam harinya menggunakan alat muzik yang dikenali sebagai Rabbana. Rebana Keras tergolong dalam kategori membranofon.  Persembahan Rebana Keras di Melaka menggunakan dikir puji-pujian dan ada juga yang diubah suai mengikut keperluan sesuatu majlis.

JKKN JOHOR                      : HAMDOLOK

Hamdolok atau juga dikenali sebagai ’masadeka’  merupakan salah satu kesenian Melayu yang berkembang suatu ketika dahulu di daerah Batu Pahat, Johor. Tarian ini mengandungi elemen nyanyian, tarian serta muzik yang dipercayai berasal dari Timur Tengah yang dimainkan oleh masyarakat Arab Badwi ketika menyambut Hari Keputeraan Nabi Muhammad SAW yang menerapkan ciri-ciri tempatan seperti gambus dan gendang. Tarian ini dipersembahkan semasa majlis keramaian dan kenduri.

JKKN SABAH          : TARIAN TABADAK

Tarian Tabadak  merupakan kesenian Dusun Bonggi yang menetap di Pulau Banggi, Kudat.  Tarian Tabadak ini dipersembahkan dengan menggunakan daun palma dan ditarikan dalam bentuk bulatan. Tarian ini diiringi alat muzik seperti gong, kulintangan dan gendang dan kebiasaannya dipersembahkan bagi menghormati tetamu semasa majlis-majlis perayaan etnik Dusun Bonggi.

JKKN SARAWAK   : TARIAN & MUZIK MELANAU

Tarian Mengarang, Menyak, Jung Padu Ai dan Tubeang Balaw antara kesenian etnik Melanau yang menggambarkan kehidupan masyarakat yang tinggal di pesisir sungai dan pantai serta berdekatan sumber hutan seperti sagu dari pokok rumbia. Peserta Perantisan Seni juga turut berpeluang mempelajari alat muzik yang mengiringi tarian etnik Melanau seperti engkromong, gendang dan gong.