Sinopsis Pementasan: Bangsawan Mestika Bumi

Perjalanan cerita bermula selepas pertabalan Maharaja Darsa Alam sebagai Raja Kerajaan Zamin Tauran. Baginda mengadakan lawatan ke seluruh negeri untuk bertemu dengan rakyat. Ketika lawatan di Wilayah Indera Galuh, cincin Mestika Bumi telah terjatuh ke dalam tasik sewaktu baginda cuba mengambil bola bernama Yapola yang jatuh ke situ. Walaupun telah berusaha mencarinya, cincin itu tidak ditemui. Cincin tersebut sangat penting bagi baginda dan Kerajaan Zamin Tauran kerana ia merupakan simbol kekuasaan Maharaja yang memerintah. 

Baginda memutuskan untuk tinggal bersama dua khadam di tasik dan memerintahkan pembesar serta rakyat jelata pulang sehingga cincin ditemui. Pada malam hari, tasik tersebut kelihatan seperti taman yang indah, dan muncul seorang gadis jelita yang kelihatan seperti puteri. Baginda mendapati bahawa jari puteri tersebut tersarung cincin Mestika Bumi. Setelah berkenalan, mereka jatuh cinta dan baginda meminta cincin itu dikembalikan. Puteri bersetuju untuk menjadi permaisuri dan cincin itu dikembalikan dengan tiga syarat.

Syarat-syarat tersebut dipersetujui, dan mereka berkahwin serta hidup dalam keharmonian selama tiga tahun, dikurniakan seorang putera. Namun, timbul fitnah yang mengatakan Maharaja Zamin Tauran telah berkahwin dengan seseorang yang tidak diketahui asal-usulnya kerana tidak mempunyai nama dan berasal dari keturunan hantu. Maharaja Darsa Alam murka dan mendesak permaisuri untuk mendedahkan identiti sebenarnya. Desakan ini menyebabkan pelanggaran sumpah bersyarat yang menyebabkan permaisuri terpaksa pulang ke kayangan. 

Maharaja Darsa Alam merasa bersalah dan berusaha untuk mencari Permaisuri, yang dikenali sebagai Mestika Bumi, tetapi gagal. Akhirnya, baginda bertemu dengan seekor gergasi di dalam hutan, dan akibatnya, baginda disumpah menjadi seekor gergasi. Setelah dua puluh tahun, mereka bertemu semula setelah melalui pelbagai halangan dan rintangan.