Kompleks JKKN bakal jadi pusat kecemerlangan - Warta Oriental Online News Portal
KOTA KINABALU: Kompleks Jabatan Kesenian Dan Kebudayaan Negara (JKKN) bakal menjadi Pusat Kecemerlangan sektor kesenian dan budaya warisan negara.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia (MOTAC), Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, ke arah itu, pelbagai usaha akan dilaksanakan bagi memperkasa dan menyemarakkan kompleks JKKN menjadi sebuah Pusat Kecemerlangan.
“Antara usaha yang dilaksanakan adalah dengan melibatkan lebih ramai persatuan dan agensi penggiat industri serta pertubuhan-pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) dalam setiap program yang kita anjurkan seperti hari ini agar mereka tahu dan memahami fungsi sebenar kementerian kita.
“Dengan kelengkapan peralatan yang cukup serta pelbagai kemudahan yang disediakan di Kompleks JKKN, kita memberi peluang kepada semua pemain industri daripada setiap peringkat untuk berkarya.
“Selain itu, pendekatan di lapangan perlu diperbanyakkan seperti membuat program ke daerah-daerah bagi mengesan bakat-bakat yang terpendam untuk kita kembangkan di pusat kecemerlangan melalui latihan-latihan dan kursus dalam bidang seni dan budaya,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Program Menyemarakkan Seni Budaya Kompleks JKKN Sabah 2023 ‘Orang Kita Budaya Kita’ di sini, pada Sabtu.
Program tersebut yang dilaksanakan selama dua hari bermula Sabtu diisi dengan pelbagai acara antaranya Senam Seni Zumba, pameran kraf, Bazar Seni, Bengkel Alat Muzik Sekafi, Open Mic Karaoke, kelas bimbingan seni tarian dan teater, persembahan pentas dan tarian kebudayaan.
Hadir sama, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) MOTAC, Datuk Saharuddin Abu Sohot, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Dasar Dan Perancangan JKKN, Mohamad Amran Mohd Haris, Pengarah Pengembangan Bahagian Seni Budaya JKKN, Rosnan Abdul Rahman dan Pengarah JKKN Sabah, Jasmi Rasit.
https://wartaoriental.com/2023/08/13/kompleks-jkkn-bakal-jadi-pusat-kecemerlangan/