Inovasi Dikir Barat Guna Teknologi Pukau Penonton - Utusan Malaysia Online
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 30 Oktober 2022, 4:11 pm
KALAU dulu dikir barat mungkin hanya dekat di hati dan terkenal dalam kalangan masyarakat Pantai Timur terutama Kelantan, kini dengan sentuhan baharu yang lebih canggih, ia pasti menarik penglibatan ramai dengan lebih meluas lagi terutamanya anak muda.
Malah, dikir barat yang biasanya diketuai seorang tukang karut dan tok juara sebagaimana kelaziman kini mempunyai jalan cerita sendiri. Mereka bukan sekadar berbalas pantun sambil diiringi awak-awak sebagai suara latar.
Paling menarik, pementasan dikir barat baru-baru ini seakan-akan menonton permainan video atau animasi hasil gabungan tiga elemen teknologi iaitu Projection Mapping, Holograhic dan Motion Capture.
Dimensi baharu melibatkan kesenian tradisional ini bakal berkembang di peringkat global satu hari nanti sekaligus dapat mengekalkan warisan negara.
Menurut Pengarah Persembahan, Mohd. Sulhie Yusuf, tercetusnya idea tersebut bermula sejak awal tahun ini dan pihaknya mula melaksanakan kursus untuk para pendikir pada Julai lalu.
“Selepas mendapat membentangkan kertas kerja kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan mendapat kelulusan, kami mengadakan kursus komputer dan teknologi kepada pendikir Julai lalu.
“Ini kerana jarang pendikir ada kemahiran komputer. Cuma ada sebahagian daripada kita yang mempunyai asas, jadi kami buat pemilihan dan mengadakan kursus selama tujuh hari untuk menambah ilmu dalam hal berkaitan teknologi,” katanya dalam majlis pelancaran Pementasan Dikir Barat Sentuhan Teknologi Kisah Hang Tuah baru-baru ini.
Pementasan Dikir Barat Sentuhan Teknologi Kisah Hang Tuah itu dianjurkan JKKN dengan kerjasama Persatuan Cinta Seni Budaya (Persidaya); Akademik Arjunasukma; Kino Studio dan PUSAKA.
Penceritaan kisah Hang Tuah disampaikan menerusi lakonan serta lagu dan Karut seperti Karut Yengki, Karut Kelantan, Lagu Jogho, Karut Tani, Lagu Matan, Karut Kelantan dan Wau Bulan
Dalam pada itu, Mohd. Sulhie Yusuf berkata, biarpun berjaya menghasilkan gabungan persembahan seni dan teknologi dalam satu-satu masa, beliau dan pasukan dikir barat tidak terlepas daripada berdepan cabaran.
“Dengan tema mengenai kisah Hang Tuah, setiap pendikir juga memerlukan latihan persilatan. Kita perlu ingat dunia dikir dan silat berbeza serta memerlukan teknik yang betul.
“Justeru ia sesuatu yang mencabar apabila ada pendikir tiada asas dalam silat sebab mustahil mampu bermain senjata tanpa ilmu seni mempertahankan diri itu. Jadi, kita perlu fokus kepada jalan cerita dan latihan silat kira-kira sebulan sebelum mahir,” jelasnya.
Tambahnya, kos bagi menjayakan persembahan sebegini menelan belanja lebih RM100,000.
Beliau dalam masa sama berkata, pihaknya dan ramai penggiat seni dikir barat sedia untuk mengangkat cerita lain terutama berkisar sejarah pada masa akan datang.
Dalam perkembangan lain, Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd. Yusop berkata, program tersebut bertujuan mempromosikan kesenian tradisional dengan gabungan teknologi sebagai produk pelancongan budaya untuk memberi pulangan ekonomi kepada penggiat.
“Di samping itu, ia juga mampu memberi dimensi baharu dalam persembahan kesenian tradisional agar selari dengan kehendak dan peredaran masa kini untuk dipasarkan ke peringkat global,” terangnya. – Mingguan Malaysia
https://www.utusan.com.my/gaya/sastera/2022/10/inovasi-dikir-barat-guna-teknologi-pukau-penonton/