Malam Gala Kota Selatan Vaganza medan karyawan tempatan bangkit

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) Melaka, Ezlina Alias berkata acara kemuncak Festival Kota Selatan (FKS) itu turut menggabungkan garapan kreatif seni berbahasa pantun serta persembahan muzik.

Katanya, persembahan malam dengan nuansa seni budaya dan elemen moden itu diserikan dengan persembahan empat artis tersohor tanah air seperti Hael Husaini, Ramlah Ram, Waris dan Asmidar.

PERSEMBAHAN artis Hael Husaini pada Malam Gala Kota Selatan Vaganza di Dataran Sungai Melaka, Banda Hilir. Foto: MR. AZLI

“Menariknya malam gala ini, kesemua persembahan dari tiga negeri di atas satu pentas dan pentas itu terapung.

“Kita boleh katakan, malam gala ini merupakan satu suntikan baharu kepada penggiat seni dan karyawan tempatan dalam mempersembahkan karya mereka dengan gabungan elemen tradisional serta moden.

“Lebih menarik apabila lagu-lagu popular penyanyi tempatan yang dijemput ini akan digubah dan dimasukkan elemen tradisional seperti Cak Lempong, Dondang Sayang serta pelbagai lagi lagu masyarakat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Dataran Sungai Melaka sempena Malam Gala Kota Selatan Vaganza.

Hadir sama menyaksikan persembahan adalah Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Santhara J.P, Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis serta Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Ezlina berkata himpunan tiga hari FKS itu sudah melebihi sasaran dengan anggaran lebih 10,000 orang pengunjung.

Ujarnya, FKS merupakan medan karyawan tempatan beraksi selepas terkurung dalam tempoh dua tahun akibat COVID-19.

 
GELAGAT pengunjung mendukung ketika menyaksikan persembahan pada Malam Gala Kota Selatan Vaganza di Dataran Sungai Melaka, Banda Hilir. Foto: MR. AZLI

“FKS adalah pentas karyawan tempatan bangkit semula dan memperkasakan kesenian warisan budaya semakin hilang ditelan zaman.

“Kita harap medan ini akan menjadi permulaa kepada penggiat seni kreatif khususnya pemain industri kesenian dan kebudayaan untuk bangkit daripada ‘lena’,” ujarnya.

 

https://www.melakahariini.my/malam-gala-kota-selatan-vaganza-medan-karyawan-tempatan-bangkit/

 

 

Hakcipta Terpelihara @ 2023 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara
Paparan terbaik menggunakan IE versi 15.0 ke atas & Firefox 100.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768

  • Web Traffic:
  • 1.png5.png8.png7.png3.png4.png5.png
  • Hari Ini: 66
  • |
  • Semalam: 1457
  • |
  • Minggu Ini: 9106
  • |
  • Bulan Ini: 36036
  • |
  • Jumlah: 1587345