Ramai teruja, Wow! Keroncong Selangor 2021 penuhi kehendak ramai - Bebas News
SETIAP sekian lama, tidak dapat menonton persembahan artis secara langsung, bila berpeluang melihat penyanyi membuat persembahan di hadapan mata, pasti timbul rasa teruja.
Ternyata program ‘Wow! Keroncong Selangor 2021’ anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama-sama Persatuan Seni Silat Cekak Hanafi Malaysia, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri (MOTAC) Selangor, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) yang berlangsung baru-baru ini memenuhi kehendak orang ramai.
Antara artis yang menghiburkan hampir 300 tetamu di studio ialah Herman Tino, Raftah Bachik, Jamilah Abu Bakar, Haziq Rosebi dan ramai lagi. Bagi yang tidak berpeluang menonton secara langsung, pihak JKKN turut membuat rakaman program tersebut yang disiarkan melalui platform digital Facebook Page JKKN TV.
JKKN sentiasa berusaha menyemarakkan dan mengangkat kembali keunikan, kesenian serta warisan tradisi rakyat Malaysia melalui aktiviti dan pengisian yang dilaksanakan kepada generasi muda agar ia tidak ditelan zaman dan selain itu dapat mempromosikan gaya hidup sihat melalui acara-acara yang dianjurkan.
Kehadiran Herman Tino atau Masrun Tamisi yang popular dengan lagu Mengapa Dikenang Mengapa Difikir dalam program Wow! Keroncong Selangor 2021 itu amat dirindui kerana sudah lama beliau tidak muncul di khalayak. Dek kurang publisiti seperti penyanyi lain, ramai yang sangka Herman tidak lagi aktif menyayi.
Herman yang bijak berkomunikasi dengan tetamu kenamaan itu menjadikan suasana di dalam studio begitu santai dan apa yang penting vokalnya tetap mantap.
Sebagai penyanyi berpengalaman, Herman turut memuji usaha JKKN Selangor kerana menganjur persembahan keroncong yang semakin terpinggir dalam kalangan generasi baharu.
Selain Herman yang mendendangkan lagu Yale Yale dan Derma Bukan Tontonan, persembahan Raftah Bachik menerusi lagu Kemayuran dan Nona Manis juga menghiburkan para tetamu. Ternyata pengalaman seni yang ada dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh Raftah.
Manakala Haziq dan Jamilah berjaya membuktikan mereka antara pelapis yang boleh mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan oleh Herman dan Raftah pada masa akan datang.
Persembahan yang diiringi oleh Ayom Keroncong ini menampilkan Jamilah dengan lagu Jampi dan Haziq untuk lagu Fly Me To The Moon. Kedua-dua mereka turut bergandingan menyanyikan lagu medley irama Malaysia iaitu Zapin Usik Mengusik. Jamilah turut tampil solo menyanyikan lagu Empat Dara dan Sambutlah Kasih.
Program Wow! Keroncong Selangor 2021 itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Wira Dr. Noor Zari Hamat mewakili menterinya Datuk Nancy Shukri.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd Yusop dan Pengarah JKKN Negeri Selangor, Mohamad Raizuli Mat Jusoh. – BebasNews.