KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) sedang menganjurkan Pertandingan Video Pendek Seni Budaya dan Nilai-nilai Murni yang terbuka penyertaan untuk semua rakyat negara ini.

Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd. Yusop berkata, penghasilan video adalah berkonsepkan sketsa dan menepati lima tema yang dipertandingkan setiap bulan.

Katanya, pertandingan video telah pun bermula sejak Mei lalu dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat Malaysia.

“Kempen dalam memupuk kesedaran mengenai seni budaya dan nilai-nilai murni diteruskan lagi dan telah pun memasuki fasa ke lima di mana pada bulan September tema yang dipertandingkan adalah ‘Sopan Santun’.

‘”Antara objektif penganjuran pertandingan ini adalah untuk menanam kesedaran masyarakat terhadap seni budaya dan amalan nilai-nilai murni, menerapkan kefahaman amalan nilai-nilai murni yang merupakan budaya dalam rakyat Malaysia serta mengekalkan satu bangsa yang mempunyai identiti jati diri yang unggul,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

 

Mesran menambah, tempoh penyertaan bermula 1 sehingga 30 September ini dan tarikh tutup pertandingan pada 1 Oktober 2021.

Menurut beliau, senarai pemenang akan diumumkan pada Oktober.

“Bagi fasa ke-5 Pertandingan Video Pendek Seni Budaya dan Nilai Murni JKKN mengangkat tema ‘Sopan Santun’.

“Ini juga adalah bagi menerapkan masyarakat kita pada hari ini agar lebih bersopan santun dalam kehidupan mereka.

“Contohya menggunakan bahasa yang sesuai dan lemah lembut. Bukan sahaja melalui pertuturan, tetapi juga melalui tulisan di media sosial,” katanya.

Mereka yang berminat menyertai pertandingan ini, boleh mengimbas Kod QR dalam poster atau layari laman sesawang JKKN http://www.jkkn.gov.my/ms untuk muat turun borang dan syarat penyertaan.

Borang dan syarat Penyertaan juga boleh didapati di www.jkkn.gov.my

Untuk pertanyaan lanjut, boleh hubungi urus setia pertandingan di talian 03-2614 8200 / 8359. – MalaysiaGazette

 https://malaysiagazette.com/2021/09/06/pertandingan-video-pendek-jkkn-dapat-sambutan/