BOTB secara maya - MyMetro Online
BUDAYA rasuah bukan isu baharu kerana sudah sinonim serta terlalu lama berakar umbi dalam kalangan masyarakat.
Biarpun pelbagai cara dan kaedah digunakan, rasuah masih berleluasa dalam apa saja bidang sekali gus menjejaskan integriti pihak terbabit.
Menyedari perlunya usaha pencegahan berterusan, Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Kumpulan Media Karangkraf dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terpanggil menganjurkan Battle Of The Bands (BOTB) Tak Nak Rasuah 2021.
Jurucakap JKKN Selangor berkata, penganjuran BOTB 2021 dilaksanakan secara dalam talian dengan menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM30,000.
"Kami membuka peluang kepada semua rakyat Malaysia yang berbakat dan inginkan hiburan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan kerajaan supaya boleh melakukan sesuatu di samping dapat menghilangkan kemurungan dengan menyertai pertandingan ini.
"Pentas BOTB 2021 dimeriahkan dengan himpunan 64 kumpulan muzik dari seluruh negara yang akan berentap bagi acara julung kali di dalam norma baharu ini," katanya.
Menurutnya, program ini juga dapat menambahkan koleksi lagu-lagu yang menampilkan mesej 'benci rasuah' melalui aspek seni budaya negara dalam diri anak-anak muda tempatan.
"Program ini juga akan menarik golongan belia sebagai ejen menyebar luas kempen-kempen kerajaan ke arah masyarakat berbudaya tinggi sekali gus dapat memberi peluang dan ruang kepada mereka untuk mempamerkan bakat penciptaan lirik serta lagu dalam menghasilkan karya-karya berkualiti tinggi.
"BOTB Tak Nak Rasuah 2021 mula berlangsung sejak 16 Jun lalu hingga 18 Ogos ini bagi penyertaan peringkat saringan yang akan dinilai melalui penghantaran video persembahan.
"Penyertaan perlu dibuat melalui emel jkknselangorku.gov.my untuk pihak u
rusetia membuat penilaian untuk ke peringkat kelayakan," katanya.
Pengumuman 10 kumpulan terbaik akan dibuat pada 20 Ogos ini, manakala penilaian akhir secara fizikal akan diadakan di Auditorium Dewan Sivik, Petaling Jaya, (MBPJ) Selangor pada 4 September ini yang akan dinilai oleh juri profesional, komposer muzik, artis jemputan dan seorang pegawai kanan SPRM yang turut akan disiarkan kepada umum melalui saluran media sosial JKKN.
"Apapun ia juga tertakluk kepada arahan semasa dilaksanakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Pemenang dibahagikan kepada beberapa kategori ditetapkan iaitu juara akan membawa pulang RM10,000 berserta hamper dan sijil penyertaan. Naib juara menerima RM7,000 (hamper dan sijil penyertaan) dan ketiga RM5,000 (hamper dan sijil penyertaan)," katanya.
Tujuh hadiah sagu hati sebanyak RM 1,000 (hamper dan sijil penyertaan) turut diberikan, manakala Persembahan Terbaik sebanyak RM500 (hamper d
an sijil penyertaan), Lagu Ciptaan Terbaik RM500 (hamper dan sijil penyertaan) dan Vokal Terbaik RM500 (hamper dan sijil penyertaan) yang akan diumumkan pada malam akhir nanti.
Menurutnya, menerusi penggunaan media sosial sebagai ruang siaran, BOTB Tak Nak Rasuah 2021 diharapkan dapat menembusi pengguna Facebook bukan saja di seluruh tanah air, malah luar negara.
Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati menerusi laman web JKKN iaitu www.jkkn.gov.my atau Facebook JKKN melalui pautan www.facebook.com/jkknselangorku.