Pesta Angin Timur Perlis kini dalam talian - Harian Metro Online
Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama kerajaan negeri Perlis menganjurkan program Pesta Angin Timur Perlis (PAT) 2021 edisi ke-9 yang berlangsung bermula hari ini dan esok.
Bagaimanapun, penganjuran program yang turut popular dalam kalangan pelancong luar dan rakyat negeri berdekatan kali ini agak berbeza dari tahun-tahun sebelumnya berikutan pandemik Covid-19.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, buat pertama kalinya, PAT 2021 dilaksanakan secara dalam talian yang dijenamakan sebagai PAT2021@Online bertemakan Mai Pakat Mai…. Pakat Jengok Ramai-Ramai!
"Program ini disiarkan secara maya selama dua hari bermula hari ini dan esok menerusi saluran digital JKNN iaitu Facebook JKKN TV.
"Semua kandungan dalam program maya selama dua hari ini dirakam terlebih dulu dengan pematuhan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat.
"Industri pelancongan budaya memainkan peranan penting dalam penjanaan pendapatan serta merancakkan rantaian sektor perniagaan," katanya yang merasmikan PAT2021@Online bersama Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, hari ini. .
Sebagai bukti, pada 2020 Pesta Angin Timur Perlis berjaya mencatatkan pulangan pendapatan berjumlah RM492,000 dengan kehadiran seramai 127,160 orang sepanjang tiga hari penganjurannya.
PAT2021@Online turut dimeriahkan dengan persembahan kumpulan kesenian JKKN Perlis seperti tarian kesenian negeri Perlis, persembahan gendang pelbagai kaum merangkumi Melayu, India, Cina dan Siam, persembahan nyanyian lagu loghat Perlis oleh artis-artis tempatan.
Tidak ketinggalan persembahan kesenian tulen negeri Perlis seperti teater Jikey, Awang Batil, muzik Alu Bunyi dan banyak lagi.
Penyanyi kelahiran Perlis, Khai Bahar turut ditampilkan untuk menyampaikan lagu Bayang.
Turut diselitkan ialah segmen 'Jualan Produk' untuk mempromosikan produk usahawan Perlis yang akan dijual secara dalam talian.
Program maya ini turut dilengkapi dengan ceramah agama dan tazkirah rohani.
PAT2021@Online dirasmikan oleh Nancy bersama Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man hari ini.