SAMSURING Meli (tiga dari kanan) beramah mesra bersama media pada majlis JKKN negeri bersama media Perlis di Nipah Klasik, Simpang Empat, Arau, Perlis.

 

ARAU: Setiap tahun kedatangan Pesta Angin Timur sememangnya cukup dinanti-nantikan penduduk negeri ini dan pelancong seluruh negara dengan penganjuran tahun ini dijadual berlangsung pada 4 hingga 5 Jun depan.

Bagaimanapun dalam suasana kebiasaan baharu berikutan Covid-19, program ikonik Perlis yang memasuki tahun kesembilan penganjurannya itu buat pertama kali akan diadakan melalui dalam talian.

Program itu akan dipancarkan secara langsung di Facebook Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

'Pesta Angin Timur 2021@Online' (PAT2021@Online) kali ini bertemakan 'Mai Pakat Mai, Mai Jengok Ramai-Ramai' dengan majlis perasmian akan diadakan pada 4 Jun ini di Auditorium JKKN negeri di sini.

Program tersebut dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan kerajaan negeri yang dikelolakan oleh JKKN negeri.

Pengarah JKKN negeri, Samsuring Meli memberitahu, meskipun dilaksanakan secara dalam talian namun kemeriahannya tetap dapat dirasai dengan pelbagai aktiviti menarik yang melalui proses rakaman awal akan disediakan untuk tatapan orang ramai.

Katanya, antara pengisian aktiviti adalah seperti pertandingan cabaran canggung, persembahan kesenian seperti hadrah, tarian terinai, Awang Batil, alu bunyi, jikey, lagu loghat Perlis, persembahan nyanyian, persembahan wayang kulit, persembahan gendang Perlis dan pelbagai lagi.

Malah katanya, demonstrasi seperti wau helang, masakan makanan tradisional Perlis dan penanaman harumanis turut diadakan.

Pelaksanaan Pesta Angin Timur Perlis 2021 diadakan secara dalam talian adalah disebabkan situasi Covid-19 yang tidak memungkinkan penganjuran dilaksanakan secara fizikal.

"Namun begitu, kita tetap mengambil inisiatif menganjurkan program ini secara dalam talian dengan mengambil pendekatan semua aktiviti dilaksanakan secara rakaman atau secara langsung dengan dipancarkan melalui saluran media sosial", katanya ketika ditemui pada majlis ramah mesra JKKN negeri bersama media Perlis di sini semalam.

Pesta Angin Timur dianjurkan sejak 2011 dengan edisi pertama berlangsung di Kampung Banir, Tembus Simpang Empat dan setiap tahun program tahunan itu terus menarik perhatian orang ramai dengan ratusan ribu pengunjung dicatatkan.

Tambah Samsuring, Pesta Angin Timur merupakan program tahunan yang mencerminkan kehidupan dan budaya rakyat di negeri ini.

"Selain itu, ia juga sebagai salah satu produk pelancongan yang mampu menjana ekonomi masyarakat setempat", katanya.

 
Akhbar             : Utusan Online
Pengarang        : MOHD HAFIZ ABD MUTALIB
Tarikh Terbitan : 13 April 2021 (Selasa)