Cungkil Bakat Unik, Kreatif - Harian Metro Online
PENULARAN Covid-19 bukanlah penghalang kepada penggiat seni tanah air untuk terus menghasilkan karya walaupun menerusi pendekatan berbeza.
Justeru, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah meneruskan usaha dalam menyemarak aktiviti seni dan budaya berkonsepkan norma baharu menerusi platform media sosial dengan pelbagai program secara dalam talian.
Pengarahnya, Jasmi Rasit berkata, penganjuran Konsert Bakat Online@JKKN Sabah yang diadakan setiap Sabtu tahun lalu mendapat sambutan sangat baik daripada penggiat seni tempatan termasuk dari Semenanjung.
"Mereka menyerlahkan pelbagai bakat yang ada seperti tarian, muzik, nyanyian, deklamasi puisi dan lakonan. Kesinambungan dari program ini, JKKN Sabah akan meneruskan Konsert Bakat Online@JKKN Sabah dengan pengisian yang lebih menarik berkonsepkan pertandingan mencungkil pelbagai bakat unik dan kreatif.
"Konsert Bakat Online@JKKN Sabah kali ini terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat Malaysia yang mempunyai bakat unik dan kreatif untuk ditonjolkan kepada khalayak melalui platform media sosial JKKN Sabah," katanya.
Menurutnya, berkonsepkan pertandingan, rakaman video berdurasi tiga hingga lima minit kiriman peserta akan dinilai juri yang dilantik JKKN Sabah.
"Proses ini adalah bagi menentukan kelayakan ke peringkat seterusnya. Rakaman video yang terpilih akan disiarkan dalam episod pertama Mac ini menerusi Facebook Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah.
"Proses penjurian bulanan pula dinilai melalui jumlah 'like' terbanyak, manakala penonton boleh menyaksikan siaran terbabit menerusi saluran YouTube dan Facebook JKKN Sabah.
"Pengumuman akan dibuat bagi peserta yang berjaya mara ke peringkat seterusnya. Program ini dijangka akan dilaksanakan bermula Mac hingga November tahun ini," katanya.
Jasmi berkata, Malam Kemuncak Konsert Bakat Online @JKKN Sabah akan berlangsung pada
November ini.
"Peserta yang berjaya sehingga ke peringkat akhir akan merebut gelaran Juara Bakat Online@JKKN Sabah dan akan memenangi wang tunai berjumlah RM3,000.
"Mereka yang berminat boleh menghantar rakaman video menerusi e-mel di Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. atau Telegram di talian 011-65630188.
"Tarikh tutup penyertaan peringkat saringan adalah sebelum atau pada 22 Februari ini. Syarat dan borang penyertaan boleh didapati di Facebook JKKN Sabah atau melalui Telegram JKKN Sabah di talian 011-65630188," katanya.
Jasmi berkata, inisiatif ini diharap mampu menarik lebih ramai penyertaan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira faktor umur, jantina, mahu pun kaum dalam usaha pemantapan dan penghayatan jati diri bangsa menerusi semangat cintakan khazanah warisan negara.
"Ia sekali gus dapat membuka ruang dan peluang untuk menghasilkan karya walaupun secara dalam talian dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan kehidupan norma baharu," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2021 @ 6:15 AM
https://www.hmetro.com.my/rap/2021/02/673413/cungkil-bakat-unik-kreatif