Berbuka Puasa Bersama Pelancong
- Butiran
- Zubir Mohd Yunus
SEPANJANG Ramadan yang mulia ini, pengunjung ke pusat bandar raya Kuala Lumpur, bukan hanya sekadar berpeluang menyaksikan deretan bazar menjual barangan persiapan menjelang Aidilfitri semata-mata.
Pada masa sama, setiap hujung minggu pengunjung berpeluang menyertai program berbuka puasa beramai-ramai.
Majlis setiap Sabtu dan Ahad dianjurkan sepanjang bulan yang penuh barakah ini, menjadi sebahagian daripada aktiviti unik menarik bertujuan lebih ramai pengunjung dan pelancong asing memeriahkan bulan Ramadan ini.
Konsep sama diperkenalkan beberapa negara di Asia Barat terutama di Makkah dan Madinah itu kini dianjurkan di Kuala Lumpur.
Justeru, mengambil pendekatan berkenaan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan beberapa agensi berkaitan menganjurkan acara seumpamanya iaitu majlis berbuka puasa beramai-ramai di tempat terbuka secara percuma setiap hujung minggu, lebih dikenali sebagai Iftar @ Kuala Lumpur atau Iftar@KL.
Iftar@KL adalah program tahunan yang memilih lokasi di Jalan Raja, Kuala Lumpur berhampiran Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad, juga ikon pelancongan di ibu kota, sekali gus mampu menarik perhatian dan kunjungan pelancong asing untuk sama-sama menikmati suasana Ramadan disertai warga kota.
Penulis baru-baru ini, berpeluang menyertai warga kota dan pelancong berbuka puasa beramai-ramai dalam program Iftar@KL 2019, terletak berhadapan Panggung Bandaraya di Jalan Raja.
Kawasan berhadapan Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad, dibangunkan Bazar Ramadan KL dan deretan kenderan saji atau food truck menjual pelbagai juadah berbuka puasa.
Suasananya berlainan berbanding berbuka puasa beramai-ramai di rumah atau premis makanan lain kerana diadakan di tempat terbuka. Pengunjung berpeluang duduk bersila di sepanjang jalan raya, menikmati juadah berbuka puasa sambil disaji pemandangan menakjubkan terutama remang senja begitu mempesona dan mendamaikan.
Ditambah cahaya neon bangunan berdekatan, pemandangannya sangat indah.
Tambahan pula, Dataran Merdeka berdekatan Masjid Negara dan Masjid Jamek memudahkan umat Islam menunaikan solat Maghrib, Isyak, seterusnya bertarawih selepas berbuka di sini. Mereka boleh menunaikan solat berjemaah di atas padang Dataran Merdeka, selain di dalam bas yang dijadikan surau kontena bergerak disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Bagi pelancong bukan Muslim, mereka dapat melihat, menghayati serta memahami betapa meriah, makmur dan indahnya suasana berbuka puasa yang unik ini. Pelancong warga asing duduk bersila bersama warga kota dan sama-sama menanti waktu berbuka puasa. Pemandangan seumpama ini jarang ditemui, hanya penganjuran Iftar@KL panorama ini menjadi realiti.
Program Iftar@KL sebenarnya bertujuan menjadikan Ramadan sebagai bulan kegiatan kerohanian dan kesenian Islam untuk disemarakkan kepada masyarakat khususnya dalam kalangan generasi muda bagi memupuk nilai murni melalui penganjuran pelbagai aktiviti keagamaan.
Harapan program ini terus menjadi keperluan industri pelancongan Islamik dan platform memperkasa Kuala Lumpur sebagai pusat seni dan budaya di peringkat global. Penganjuran ini membawa jenama Iftar@KLdalam peta pelancongan antarabangsa apabila setiap kali menjelang Ramadan, pelancong menjadikan majlis berbuka puasa di ibu kota sebagai acara wajib hadir.
Selain berbuka puasa, antara komponen pengisian Iftar@KL 2019 termasuklah penyediaan serta pengagihan bubur lambuk, tadarus al-Quran, klinik tahsin al-Quran, kaunter zakat, tazkirah Ramadan, bicara Ramadan dan persembahan kesenian Islam.
Pengunjung Iftar@KL 2019, Ezani Balia, 40, berasal dari Johor Bahru, mengakui seronok menyertai majlis berbuka puasa beramai-ramai kerana sangat unik, berpeluang makan dan minum di atas jalan raya bersama pelbagai lapisan masyarakat, sambil duduk bersila dan menikmati pemandangan mempesona.
"Lazimnya jika ada kelapangan, saya membawa keluarga bercuti ke Kuala Lumpur pada hujung minggu dan kebetulan hari ini dianjurkan majlis Iftar@KL 2019, justeru saya tidak mahu melepaskan peluang berkenaan.
"Tambahan pula, saya sempat membawa keluarga membeli-belah di Bazar Ramadan KL yang terletak berdekatan. Selesai berbelanja, terus sahaja berbuka puasa beramai-ramai.
"Kehadiran pelancong yang ramai membuktikan mereka begitu menghargai keunikan Ramadan, sekali gus menyemai industri pelancongan secara Islamik. Pengembara pasti berkunjung semula ke Kuala Lumpur setiap kali Ramadan kerana pengisian Iftar@KL membawa mereka mengenali keindahan Islam," katanya.
FAKTA NOMBOR
* 66,839 orang - Jumlah pengunjung Iftar@KL 2018
* 15 komponen - Pengisian aktiviti dan program sepanjang Iftar@KL 2019
INFO
- Iftar @ Kuala Lumpur mula dianjurkan pada 2012 hingga 2014 dikenali Festival Ramadan.
- Namun diberi penjenamaan semula Iftar@KL mulai 2015 hingga hari ini
- Iftar@KL 2019 adalah penganjuran kali ke-8 seumpamanya, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung berbuka puasa beramai-ramai di tempat terbuka percuma.
- Program berteraskan pelancongan Islamik ini dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
- Iftar@KL 2019 berlangsung setiap Sabtu dan Ahad sepanjang Ramadan mulai 11 dan 12 Mei lalu.
- Diikuti (18 & 19 Mei) dan (25 & 26 Mei) berhadapan bangunan Panggung Bandaraya, Jalan Raja, Kuala Lumpur.