DBKL Akan Kenal Pasti Penghuni PA, PPR Untuk Dibantu
- Butiran
- Selangor kini
KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mengenal pasti penyewa Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar ibu kota yang layak diserapkan dalam Skim Khidmat Menjelaskan Tunggakan Sewa.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, usaha itu bertujuan membantu penyewa yang benar-benar memerlukan bantuan bagi membayar semula sewa bulanan yang tertunggak itu.
"Saya sudah minta DBKL dapatkan senarai penduduk dan buat satu proses pemutihan untuk cari orang yang betul-betul memerlukan bantuan. Kita akan cuba berikan pekerjaan dan jenis bantuan lain sehingga akhirnya mereka boleh membayar sewa mereka.
"Tetapi mereka yang akhirnya didapati ada kereta, telefon bimbit, Astro dan hidup dalam keadaan agak mewah itu, kita terpaksa ambil tindakan kerana ada lebih ramai lagi yang layak menerima bantuan ini," katanya selepas merasmikan Festival Permainan Malaysia @ Kuala Lumpur di Dataran Merdeka, hari ini.
Menurut Khalid, DBKL mengalami kerugian RM58 juta akibat tunggakan sewa itu, sedangkan sewa bulanan hanya RM124.
"Ini bukan sejak Pakatan Harapan (PH) ambil alih. Dari awal lagi, ada penyewa yang masuk langsung tidak pernah bayar.
"Ini pun kita kena tangani dengan berhati-hati dan berhemah kerana kita tahu akan ada golongan yang menjadikannya isu politik. Ini masalahnya, bila kita nak buat benda yang betul, ia dipolitikkan," katanya.
Festival Permainan Malaysia anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), yang diadakan buat kali kelima itu bertujuan menanam minat serta memelihara permainan tradisional negara agar tidak luput ditelan zaman.
Festival yang disertai lebih 1,000 peserta daripada badan beruniform dan sektor korporat itu menampilkan 20 jenis permainan tradisional pelbagai kaum seperti batu seremban, congkak, sepak raga, menyumpit dan tarik tali.
- BERNAMA
https://selangorkini.my/2019/09/dbkl-akan-kenal-pasti-penghuni-pa-ppr-untuk-dibantu/