Pasangan Sambut Ulang Tahun Perkahwinan Naik MRT
- Butiran
- Syalikha Sazili
SEBAHAGIAN para peserta Program Keretapi Sarong 2019 bergambar ketika berkumpul di Dataran Merdeka. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pasangan veteran, Ruzitah Adnan, 63 dan Muslim Minhat, 70, mengambil keputusan untuk meraikan ulang tahun perkahwinan yang ke-41 dengan menyertai program Keretapi Sarong 19, hari ini.
Mengenakan busana songket berwarna hijau lembut, lengkap betanjak, bersampin dan berselendang, pasangan ini mencuri tumpuan dengan memulakan langkah mereka menyertai program berkenaan di stesen Transit Aliran Massa (MRT), Kajang.
Ruzitah berkata, beliau dan suami sebelum ini sering meraikan ulang tahun perkahwinan dengan melancong namun tahun ini mengambil pendekatan berbeza.
TIMBALAN Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik (kiri) bersama sebahagian para peserta Program Keretapi Sarong 2019 menaiki Transit Aliran Massa (MRT) dari Stesen Kajang ke Stesen Masjid Jamek. - Foto BERNAMA
"Jika sebelum ini kami raikan dengan melancong, tahun ini kami mahu meraikan dengan masyarakat Malaysia.
"Tarikh perkahwinan kami memang signifikan dengan sambutan Hari Malaysia, dan sambutan tahun ini ternyata luar biasa dan lebih meriah," katanya ketika ditemui di Dataran Merdeka sempena sambutan Hari Malaysia, di sini, hari ini.
Turut hadir bersama menemani pasangan ini ialah anak tunggalnya, Khairunnisa Muslim, 33, yang sebenarnya merancang kejutan buat kedua ibu bapanya itu.
Katanya, rancangan terbabit dibuat bersama sepupunya dalam tempoh dua minggu termasuk menempah busana lengkap mereka.
"Saya tidak pernah menyertai program Keretapi Sarong sebelum ini dan ini adalah kali pertama. Tetapi saya tahu sambutannya cukup menarik sekali.
"Mak ayah baru tahu rancang ini pagi tadi. Jadi kami dari Nilai datang ke Kajang untuk memulakan sambutan. Kajang adalah salah satu tempat untuk berkumpul dan berdekatan dengan kami.
"Saya tidak sangka ia sebegitu meriah dan mak ayah mencuri tumpuan sehingga dipanggil naik ke pentas untuk diraikan. Saya dan mereka cukup terharu," katanya.
Sepanjang perjalanan menaiki MRT dari Kajang ke Masjid Jamek, peserta yang berada di dalam beberapa buah koc didendangkan dengan pelbagai lagu rakyat antaranya Can Mali Can, Gelang Si Paku Gelang dan Ulek Mayang.
Persembahan itu turut disertai dengan pemuzik dan penari yang memakai pelbagai baju tradisional.
Program anjuran Local Companion (LOCCO) dengan sokongan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya ini bermula seawal jam 9 pagi.
Peserta berkumpul dari lima stesen transit aliran ringan (LRT) dan transit aliran massa (MRT) iaitu Kajang, Ampang, Bandar Utama, Subang Jaya dan Gombak serta kemudiannya berhenti di stesen Masjid Jamek sebelum semua berarak ke Dataran Merdeka.
Sementara itu, pelancong asing, Richard Black Burn, 29, dari London, hadir ke Dataran Merdeka, hari ini semata-mata untuk menyaksikan sambutan Hari Malaysia.
"Percutian kami ke Malaysia selama dua minggu ini banyak dihabiskan di Sabah untuk melihat pulau yang cantik.
"Namun kami sempat membuat kajian dan mendapat tahu akan ada sambutan Hari Malaysia pada hari ini.
"Jadi saya dan pasangan hadir ke sini untuk menyaksikan sendiri sambutan ini dan ia cukup meriah serta menyeronokkan," katanya.