KUALA LUMPUR: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bakal mementaskan teater muzikal purbawara bertajuk Sulalat ‘Us Salatin atau lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu, bagi mengangkat keunggulan karya agung warisan bangsa.

Pementasan yang bertemakan “Kemaharajaan Maritim Selat Melaka” itu akan berlangsung di Panggung Seri, JKKN Melaka, Ayer Keroh, selama tiga hari iaitu dari 20 hingga 22 Disember ini.

Setiausaha Agung Persatuan Gerakan Anak Seni, Siti Rohayah Atan yang juga pengarah teater tersebut berkata, pementasan ini bertujuan memperkenalkan semula khazanah sejarah kepada generasi baharu.

Kata beliau, antara babak penting yang akan dipersembahkan termasuk pengembaraan Raja Suran ke dasar laut, Waadat Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana, serta kebijaksanaan Hang Nadim ketika Singapura diserang todak.