Pementasan Teater Tradisional Mak Yong ‘Raja Tangkai Hati’

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan menganjurkan Pementasan Teater Tradisional Mak Yong ‘Raja Tangkai Hati’ pada :

📍Tarikh : 9 & 10 November 2024 ( Sabtu & Ahad)
📍 Masa: 8.30 Malam
📍Tempat: Dewan Tuanku Canselor ( DTC) Kampus Sultan Azlan Shah Proton City, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Perak

Pementasan ini mengisahkan pelayaran Raja Tangkai Hati yang pulang menziarahi ayahandanya di negeri Sekota Batu bersama-sama isterinya, Puteri Cempaka Emas serta dua orang anaknya iaitu Malim Bisnu dan Malim Bongsu. Namun kapal terhenti belayar atas kuasa Puteri Bota menimbulkan sebuah beting yang mengakibatkan kapal itu berhenti. Puteri Bota yang berdendam dengan Raja Tangkai Hati kerana tidak memperisterikannya, bertukar menjadi kumbang dan terbang ke atas kapal dan membuat tipu helah. Di atas pujuk rayu Malim Bongsu, Puteri Cempaka Emas memetik bunga tersebut, Puteri Bota dengan rakusnya menangkap dan melarikan Puteri Cempaka Emas ke Teluk Mati Angin Pulau Mati Anak dan disumpah menjadi badan separuh mawo dan separuh manusia. Puteri Bota meneruskan niat jahatnya dengan berubah wajah menjadi Puteri Cempaka Emas. Naluri kedua-dua putera Raja Tangkai Hati dapat merasakan yang tubuh bonda mereka adalah jelmaan Puteri Bota dan bonda mereka sebenar sedang dalam bahaya. Mereka gagal meyakinkan ayahanda mereka dan telah dianggap derhaka lalu dicampak ke dalam laut seperti saranan Puteri Bota . Dewa Betara Guru ternampak Malim Bisnun dan Malim Bongsu terapung di laut dan menyelamatkan mereka. Mereka dijelmakan sebagai dua butir teritik (siput) dan diletakkan di bawah kapal, menyebabkan kapal terhenti. Dewa Betara Guru pula bertukar rupa menjadi seorang orang tua. Apakah nasib yang bakal menimpa ke atas dua beradik itu?

Bagaimana pula dengan Puteri Cempaka Emas yang sedang terseksa akibat sumpahan Puteri Bota?