SINOPSIS

PAPARAN kisah perjuangan HAJI MAT HASSAN BIN PANGLIMA MAT MUNAS atau lebih dikenali sebagai TOK JANGGUT menentang penjajahan Inggeris di Pasir Puteh, Kelantan. Selepas kedatangan Inggeris, keadaan di Pasir Puteh mula tidak tenteram terutama selepas kehadiran SARJAN CHE WAN SULAIMAN seorang anggota polis yang biadab yang terlalu menyanjung pembesar Inggeris yang diketuai oleh LANGHAM CARTER. Tambahan pula selepas pelantikan ENCIK ABDUL LATIF dari Singapura yang angkuh dan sombong sebagai Ketua Jajahan Pasir Puteh. Mereka berdua sanggup mengkhianati bangsa sendiri demi untuk mencapai kekuasaan dan kepuasan diri sendiri. Sanggup menjadi penjilat tegar dan memusnahkan bangsa Melayu kerana kepuasan diri.

Keadaan semakin kacau apabila pemerintah Inggeris telah menguatkuasakan undang-undang cukai Kerajaan Kelantan yang ternyata membebankan rakyat. Penduduk yang enggan membayar cukai akan dikenakan hukuman denda atau penjara.

TOK JANGGUT seorang ulama tempatan, berpendidikan dari Mekah yang juga seorang guru silat tidak setuju dengan undang-undang tersebut. Beliau yakin pihak Inggeris telah mempengaruhi Sultan dalam menguatkuasakan undang-undang tersebut demi untuk mencapai matlamat mereka untuk menjajah tanah Melayu. Bersama para pengikutnya, TOK JANGGUT sepakat untuk tidak membayar cukai yang ditetapkan.

Berita tersebut telah sampai kepada pengetahuan ENCIK ABDUL LATIF yang telah menghantar SARJAN CHE WAN SULAIMAN untuk menangkap TOK JANGGUT. Namun berlaku pertengkaran sewaktu hendak menangkap TOK JANGGUT sehingga SARJAN CHE WAN SULAIMAN terkorban di tangan TOK JANGGUT. Peristiwa ini juga menjadi pencetus penyerangan dan penawanan pekan Pasir Puteh sehingga berlaku peperangan.

Dalam waktu yang sama pihak Inggeris telah menyebarkan fitnah, TOK JANGGUT dan pengikut-pengikutnya telah menderhaka kepada Sultan dan sedang berusaha untuk merampas takhta dari Sultan. Mereka juga berusaha untuk memastikan tiada sesiapa pun dapat menyampaikan berita sebenar kepada Sultan.

Sewaktu peperangan meletus pihak Inggeris yang dibantu oleh Soldadu Sikh telah berjaya membunuh TOK JANGGUT. Sekujur tubuh yang dikatakan mayat TOK JANGGUT telah digantung secara songsang diarak di bandar Kota Bharu untuk menakut-nakutkan pengikut-pengikut TOK JANGGUT. Namun benarkah mayat itu mayat TOK JANGGUT yang sebenarnya? Adakah perjuangan TOK JANGGUT terhenti di situ sahaja? Saksikan perjuangan pahlawan Melayu dalam mempertahankan kedaulatan tanah air dalam teater perjuangan TOK JANGGUT 13 LIANG