- Ruhaya Ab. Hamid
Norliza Rofli (dua dari kiri) merasmikan majlis pelancaran Buku 60 Tahun: Semaraknya Seni Budaya di Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR 19 April - Sempena menyambut ulang tahun ke-60, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) merancang untuk melaksanakan program-program berteraskan lima teras program utama iaitu Asuhan Seni dan Budaya, Pemuliharaan Seni dan Budaya, Jangkauan Seni Budaya (JSB), Pengukuhan Seni dan Budaya serta Jaringan Kerjasama Kebudayaan sepanjang tahun ini.
Ketua Pengarah JKKN, Tan Sri Norliza Rofli berkata, semua aktiviti tersebut dilaksanakan melalui tiga sektor utama iaitu Sektor Pentadbiran dan Kewangan, Sektor Kebudayaan dan Kesenian serta Sektor Dasar dan Perancangan dan dibantu oleh pegawai dan kakitangan tetap 14 JKKN Negeri. Di samping itu, pengurusan dan pelaksanaan program dimantapkan lagi dengan adanya 11 buah Kompleks JKKN Negeri yang memberi kemudahan dan ruang untuk mengisi pelbagai aktiviti seni budaya di peringkat negeri.
JKKN juga mendapat kerjasama secara NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan) daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan, agensi kerajaan, badan berkanun dan syarikat swasta seluruh negara. Selain itu, program yang dilaksanakan tersebut turut disertai khalayak dan penggiat seni dari pelbagai latar belakang.
"Pada tahun lepas, JKKN berjaya melaksanakan 370 program dengan melangsungkan 905 aktiviti. Untuk tahun ini, JKKN menetapkan bahawa program-program yang dilaksanakan hendaklah memberi impak kepada masyarakat di semua peringkat terutamanya golongan remaja, belia, kanak-kanak serta orang dewasa," katanya.
Daripada lima teras utama, sebanyak 10 program baharu di bawah inisiatif JKKN untuk tahun ini. 10 program utama yang telah dirancangkan itu ialah Jom Belajar, Konsert Permata Seni, Gilap Bakat Muda, Festival Seni Hampir Pupus (DyingArts Festival), Wacana Ilmu, Semarak Seni Budaya, Program ArtsMarket 2018, Seni Cemerlang serta Pelancaran Buku Bergambar JKKN 60 Tahun Semaraknya Seni Budaya.
Dalam pada itu, JKKN turut mengorak langkah memperkasa dan memperkemaskan kandungan digital menerusi sistem Rangkaian Media Sosial JKKN (saluran TV YouTube, Twitter, Facebook, Instagram dan aplikasi Telegram) yang dikenali sebagai MySeniBudaya. - UTUSAN ONLINE
Utusan Melayu (M) Bhd