BERBUKA puasa sambil menikmati keindahan kota Kuala Lumpur dalam remang senja sudah pasti menarik kehadiran ramai pengunjung.

Begitulah suasana berbuka puasa (Iftar@Kuala Lumpur) 2019 baru-baru ini yang menarik kehadiran pengunjung dalam dan luar negara.

Iftar@Kuala Lumpur 2019 kali kelapan sejak dilaksanakan pada tahun 2012 itu diselaraskan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) merupakan salah satu program daya tarikan pelancong ke Malaysia bagi menikmati suasana Ramadan.

Ketua Pengarah JKKN, Tan Sri Norliza Rofli berkata, ia turut mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Iftar@KL 2019 kali ini juga bertujuan untuk mengimarahkan dan memakmurkan bulan Ramadan sebagai bulan ibadah dan keprihatinan sesama insan melalui amalan-amalan kebajikan.

"Di samping itu, ia bagi mengeratkan hubungan silaturahim masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Melalui program seumpama ini, kita dapat menyemai semangat kekeluargaan dan membantu pihak-pihak yang memerlukan sumbangan dan bersedekah sekali gus memupuk nilai-nilai murni terutamanya masyarakat kota," katanya ketika ditemui "Horizon" baru-baru ini.

Tetamu diraja

Mengulas lanjut mengenai keunikan yang terdapat pada Iftar@KL 2019 kali ini, beliau berkata, surau kontena bergerak yang disediakan oleh Jakim serta penganjuran malam 7 likur@River of Life oleh DBKL yang diadakan pada 25 Mei ini antara aktiviti yang menarik.

Katanya, acara kemuncak program Iftar@Kuala Lumpur 2019 pada hari tersebut juga akan dihadiri oleh tetamu diraja dan agihan bubur lambuk kepada orang ramai, tadarus al-Quran dan berbuka puasa bersama-sama rakyat.

Sehingga tahun lalu, seramai 66,839 orang pengunjung hadir membabitkan 59,957 orang warga tempatan manakala 6,882 orang pelancong asing.

Antaranya pelancong dari Asia Barat, negara-negara ASEAN, Korea Selatan, China, Jepun, Sepanyol, Itali, Jerman, Belanda, Amerika Syarikat serta Perancis.

Sementara itu, PengarahÂIftar@Kuala Lumpur, Rosnan Nordin berkata, program berkenaan telah menarik kehadiran warga asing untuk terlibat sebagai sukarelawan sejak ia dilaksanakan enam tahun lalu.

"Program yang telah menjadi ikonik di Kuala Lumpur ini memberikan keunikan baharu apabila majlis Iftar@Kuala Lumpur digabungkan bersama bazar Ramadan yang dibuka bermula tahun ini.

"Ia sekali gus dapat menarik lagi pertambahan pengunjung ke sini bagi mendapatkan pelbagai barangan keperluan untuk persiapan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi," ujarnya.

Jelasnya, setiap hari pihaknya mempunyai kira-kira 150 orang sukarelawan yang akan turut membantu bagi menyediakan makanan kepada pengunjung bagi berbuka puasa.

Pengunjung

Kemeriahan Iftar@Kuala Lumpur 2019 itu turut dikongsi salah seorang siswi dari Terengganu, Nurul Syahida Harun, 23, yang pertama kali hadir berbuka puasa bersama rakan-rakannya.

"Penganjuran program ini amat baik kerana saya dapat bersama-sama rakan berbuka di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur sambil menikmati suasana santai pada hujung minggu.

"Kemudahan perkhidmatan secara setempat juga memberikan keselesaan kepada pengunjung yang membawa keluarga untuk datang ke sini," jelasnya.

Hakcipta Terpelihara @ 2024 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara
Paparan terbaik menggunakan Chrome versi 124.0 ke atas & Firefox 120.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768

  • Web Traffic:
  • 2.png1.png6.png7.png1.png2.png2.png
  • Hari Ini: 2845
  • |
  • Semalam: 3308
  • |
  • Minggu Ini: 21787
  • |
  • Bulan Ini: 49490
  • |
  • Jumlah: 2167122