KUALA LUMPUR, 16 Sept -- Kira-kira 4,000 rakyat Malaysia berkain sarung dan memakai pakaian tradisional menyertai program 'Keretapi Sarong 2019' di lima stesen MRT di sini hari ini.

Para peserta mengenakan kain sarung pelbagai warna dengan pelbagai gaya, melangkah dengan bangga, berarak melalui jalan-jalan yang sibuk di ibu negara dan berkumpul di stesen Masjid Jamek sebelum beralih ke Dataran Merdeka, sambil menyanyikan lagu-lagu patriotik di sepanjang jalan.

Kehadiran mereka menarik perhatian orang ramai serta pelancong di sepanjang jalan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata berikutan sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai, kementerian mungkin akan memperluaskan program 'Keretapi Sarong' ini di luar Kuala Lumpur pada tahun hadapan.

"Program seperti ini menunjukkan kepelbagaian budaya dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dalam meraikan Hari Malaysia.

"Melalui program seperti ini, MOTAC bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti LOCCO sejak tiga tahun lepas membantu mengembalikan tradisi memakai kain sarung," katanya kepada media selepas menyampaikan ucapannya di Dataran Merdeka, hari ini.

Inisiatif Keretapi Sarong dianjurkan oleh kumpulan komuniti tempatan Local Companion (LOCCO) dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

-- BERNAMA

 

Â