Betul kata orang, tak kenal maka tak cinta. Bila dah kenal, rasa tak nak berpisah.
Terlalu mentah bagi penulis yang baru beberapa kali menyaksikan persembahan tarian Melayu tradisional sebelum ini jika nak dibandingkan dengan penggiat seni lain.
Namun, Malam Tarian Klasik Melayu anjuran Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN) di Pusat Pelancongan Matic pada hujung minggu lalu sungguh ideal dan mempesonakan.
Bukan mahu melambung sesiapa tetapi penulis harus ucapkan syabas kepada JKKN atas penganjuran acara di bawah program Panggung Seni Tradisional 2019 itu yang dihadiri oleh pelbagai lapisan penonton.
Full house seperkara yang harus dipuji tetapi keupayaan untuk menarik pelancong asing juga seharusnya dibanggakan!
Malam Tarian Klasik Melayu tidak membosankan. Pementasan berdurasi 2 jam itu sedikit sebanyak memberikan gambaran tentang indahnya seni tari Melayu sejak zaman-berzaman.
Pentas dibuka dengan tarian Silat yang diadaptasi daripada seni pertahanan diri yang sangat popular dalam masyarakat Melayu.
Kemudian penonton diperkenalkan dengan tarian istana dan keraian dari pelbagai negeri di Malaysia seperti Kelantan, Perlis, Terengganu, Johor dan Perak.
Mungkin kalau diikutkan secara teori, jumlah tarian yang dipersembahkan kali ini tidak menyeluruh dan coraknya agak fleksibel, ia ada tarikan nilai komersial untuk penonton datang dan membelanjakan RM50 untuk harga tiketnya.
Mengadap Rebab, Asyik, Gamelan, Ceracap Inai, Lenggok, Layang Mas dan Mengadap Balai antara tarian yang dipersembahkan kali ini.
Syabas buat penari dari Fakulti Tari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan ASK Dance Company yang menjadikan Malam Tarian Klasik Melayu satu acara luar biasa indahnya.
Semoga akan ada lagi usaha sebegini pada masa akan datang untuk memperkenalkan seni Melayu kepada orang ramai terutama anak muda tempatan.
Syabas!
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Kepada anda yang berminat untuk menyumbang, hantarkan karya anda ke Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.