Sinopsis

 

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Persatuan Seni Silat Senaman Gerak Sentuhan dan Kuantan 188 mengadakan Festival Kesenian Orang Asal Antarabangsa 2022@Kuantan 188 pada 24 hingga 26 November 2022 bermula pukul 10.00 pagi bertempat di Menara Kuantan 188.

Objektif utama penganjuran festival ini adalah untuk mengetengahkan keunikan pelbagai etnik, dan budaya orang asal dari pelbagai negara dan memupuk semangat perpaduan bersama masyarakat dalam aktiviti seni budaya. Ia turut akan menjadi salah satu elemen tarikan pelancong kerana program ini mampu memberi impak kepada industri pelancongan negara menerusi penyerlahan seni budaya orang asal dalam kalangan masyarakat tempatan dan antarabangsa. Selain itu, JKKN ingin mengangkat serta mengekalkan kesenian dan warisan adat budaya orang asal tempatan dalam dan luar negara yang terdiri daripada pelbagai etnik dan bangsa di mata masyarakat

Persembahan dari pelbagai etnik seperti Semelai (Pahang), Mahmeri (Selangor), Seletar (Johor), Baba Nyonya dan Portugis (Melaka), Sabah dan Sarawak serta penampilan khas kumpulan Bah Bola dan penyanyi orang asal, Itam Jelmol. Penampilan khas dari etnik antarabangsa pula terdiri daripada orang asal Khazakhstan, Afrika, dan Mauritius akan mempersembahkan tarian dan persembahan dari etnik mereka. Tambahnya lagi, pengisian festival ini juga termasuklah pameran dan jualan dari pelbagai etnik dijangka dapat menarik lagi minat pengunjung untuk melihat sendiri hasil – hasil tangan masyarakat orang asal